Logo Mukhabarrat - polis rahsia Saudi.
Bukan soal bertaubat atau pengampunan, puisi tersebut dgn jelas menghina baginda. Jika nk bercakap mengenai pengampunan, jenayah2 yg ada adakah patut diberi pengampunan jika mereka sudah 'bertaubat'? Jika kesalahan begini tidak dibendung, maka ramailah lagi yg naik tocang. Yg patut bertaubat dan beristighfar adalah Farhana kerana pandangan beliau adalah bukan jenayah cuma barangkali berat sebelah (tidak mengaplikasikan kesalahan2 lain dgn hukum bertaubat yang dicanangkan olehnya) manakala mat arab tersebut patut dihukum!
Pemerhati
Hamza Kashgari, kamu dimana sekarang?
Sesiapa yang tahu mendalam tentang budaya Arab akan tahu bagaimana syair, sajak dan gurindam amat-amat dekat di hati bangsa Arab. Bukan sesuatu yang ganjil apabila kita bertemu seorang Beduin di padang pasir yang mungkin buta huruf tetapi boleh menghafal syair dan sajak yang berumur ratusan tahun. Puncak keindahan bahasa Arab ini boleh dihayati dalam al-Quran.
'I love the rebel of yours dear prophet..." aku berahikan pemberontakan yang kau bawa wahai Nabiku..' Mengikut Fadiah Nadwa Fikri, inilah intipati syair yang ditulis oleh Hamza Kashgari.
Hamza telah menyebarkan syair untuk menyambut Hari Kelahiran Nabi Muhamad tahun lalu melalui Twitternya. Tahun ini 'kicauan' ini telah menjadi isu politik yang menggemparkan Arab Saudi.
Setahun dahulu tidak ramai yang ambil peduli tentang isi twitter dari Hamza ini. Tetapi pada tahun ini semuanya berubah. Perubahan ini berlaku kerana suasana budaya politik di negara-negara Arab bergolak dan berubah.
Politik di Mesir, Libya, Tunisia telah berubah. Di Yemen, Syria dan Bahrain pergolakan politik sedang berlaku. Anak-anak muda Arab telah turun ke jalan-jalan raya menuntut perubahan. Anak-anak muda Arab telah bosan dengan rejim lama yang menindas mereka.
Arab Saudi tidak dapat terus menjadi pulau yang bebas dari ombak perubahan. Apa yang sedang berlaku di dunia Arab telah mula meresap untuk mempengaruhi anak-anak muda Arab Saudi. Inilah latar belakang budaya yang menjadikan 'kicauan' Hamza Kashgari menggegarkan Arab Saudi.
Hamza Kashgari yang berumur 23 tahun adalah contoh anak muda Arab yang bijak IT dan pengamal media baru yang cekap. Anak kelahiran Riyadh ini juga seorang kolumnis untuk akhbar harian al-Bilad — akhbar tertua di Saudi yang bermula pada tahun 1932.
Hamzah lahir dari keluarga inteligensia Muslim. Ibunya saorang guru agama. Hamza sendiri graduan dari jurusan Islam. Dia juga seorang hafiz yang boleh membaca al-Quran tanpa melihat kitab ini.
Hamza Kashgari terbang ke Kualam Lumpur bukan dari Arab Saudi. Dia terbang dari Jordan. Sebenarnya Hamza Kashgari telah melarikan diri dari Arab Saudi ke Jordan. Dia merasa dirinya tidak selamat di Arab Saudi. Jordan hanya untuk sementara kerana negara ini juga tidak berkeupayaan untuk menjamin keselamatannya.
Nyawa Hamza Kashgari sedang terancam di tanah kelahiranya. Ini timbul kerana ada tuntutan agar anak muda ini di tangkap. Kumpulan kanan dan konservatif dari puak salafi 'telah naik minyak' dan mahu kerajaan Saudi menangkap anak muda ini.
Isi Twitter Hamza telah ditafsir sebagai menghina Nabi Muhammad. Malah nombor telefon Hamzah telah disebar kepada orang ramai. Maka tidak ada jalan lain — Hamzah terpaksa melarikan diri ke Jordan.
"Sebenarnya twit ini keluar tahun lalu. Tahun lalu tidak ada sesiapa yang peduli. Tetapi sebelum ini, Hamzah telah berbulan-bulan diawasi dan di ekori oleh mukhabarrat - polis rahsia Saudi. Bukan kerana twit tetapi kerana dia menyusun gerakan anak muda yang mahukan demokrasi.
Hamza cukup aktif... dia ramai kawan...dia baru sahaja berjaya membuat forum membincangkan apa yang berlaku di Syria," penerangan yang jelas dari Fadiah Nadwa peguam Lawyers for Liberty tentang apa yang sebenarnya berlaku.
Menurut Fadiah, Hamza Kashgari telah sampai di Kuala Lumpur pada 7 Februari. Kuala Lumpur dipilih kerana warga Saudi tidak perlu meminta visa di kedutaan Malaysia di Riyadh. Visa lawatan boleh diambil ketika sampai ke mana-mana pelabuhan di Malaysia.
"Malaysia bukan negara yang dituju oleh Hamza. Dia mahu mencari suaka politik di Kanada atau di Eropah," tambah peguam yang membela Hamza ketika dalam tahanan di Bukit Aman.
"Sesampai di Kuala Lumpur, Hamza telah menginap di hotel. Esoknya dia telah menemui 'kenalan siber' seorang warga Malaysia yang pernah bertahun-tahun tinggal di Saudi. Esoknya pada 8 haribulan, bersama kenalan siber ini Hamza telah pergi ke kedutaan New Zealand untuk melamar visa.
"Visa telah diberi. Malah pegawai dari kedutaan New Zealand telah memberi nasihat untuk Hamza meninggalkan Malaysia secepat mungkin."
Sesudah mendapatkan visa, pada hari yang sama Hamza telah membeli tiket penerbangan ke Auckland New Zealand. Nasib Hamza pada ketika itu cukup baik kerana pada keesokan harinya ada pesawat yang akan terbang ke New Zealand.
Ketika Hamza merancang semua ini - 'mukhabarat' atau polis rahsia Saudi telah bekerja keras untuk mencium pergerakan Hamza dari Jordan hingga ke Kuala Lumpur. Pihak polis Saudi akhirnya telah bekerjasama dengan polis Malaysia untuk menangkap Hamza Kashgari.
Esoknya, pada 9 haribulan Hamza telah menuju ke KLIA untuk mengambil pesawat ke New Zealand. Mengikut peguam Fadiah, Hamza Kashgari telah ditangkap di lapangan terbang KLIA ini. Polis rahsia Saudi bersama dengan polis Malaysia sedang menunggu ketibaan Hamza di lapangan terbang.
Apabila disedari yang Hamza telah tertangkap, si kawan siber telah menghubungi Lawyers For Liberty. Dengan pantas kumpulan NGO yang berjuang untuk hak asasi manusia ini telah memulakan tugas. Keluarga Hamza di Saudi telah dihubungi.
"Saya bercakap dengan ibu dan ayah Hamza. Mereka dalam kerisauan... mereka takut apa yang akan terjadi pada anak mereka ... mereka melantik kami untuk membantu Hamza..." Fadiah mengingatkan kembali bagaimana perbualan dengan keluarga Arab ini wajib menggunakan penterjemah.
Perlembagaan Malaysia dengan jelas telah memberikan hak kepada peguam untuk bertemu anak guaman. Ini asas hak asasi manusia. Berpandukan dengan hak ini Lawyers for Liberty telah menghubungi Bukit Aman.
Para peguam merasakan bahawa Hamza Kashgari pasti sedang di tahan di Bukit Aman. Semua usaha untuk bertemu anak guaman telah gagal.
"Kami tidak dapat bertemu dengan Hamza Kashgari.. beberapa kali kami hubungi pihak berkuasa di Bukit Aman. Tidak ada jawapan yang tepat," kata Fadiah yang pada ketika itu masih belum putus asa.
Pada Ahad 12 haribulan Februari, Lawyers for Liberty telah berjaya mendapat kebenaran mahkamah untuk menahan Hamza Kashgari dari meninggalkan Malaysia atau dihantar keluar Malaysia.
"Kami telah pergi ke rumah Hakim Datuk Rohana Yusoff di Subang Jaya untuk mendapatkan perintah mahkamah,"
Perintah mahkamah telah membuat arahan yang Hamza Kashgari tidak boleh di hantar keluar negara kerana telah ada permintaan harbeas corpus yang akan diajukan pada 13 haribulan dan akan didengar di mahkamah terbuka pada 14 haribulan.
Dengan perintah mahkamah ini para peguam telah bergegas ke Lapangan Terbang Subang untuk mencari Hamza. Subang dituju kerana besar kemungkinan polis rahsia Saudi telah datang dengan pesawat khas dan berlabuh di Subang.
Apabila mencari Hamza Kashgari di Subang gagal dengan cepat para peguam telah pergi ke KLIA dengan membawa perintah mahkamah. Sayangnya tidak ada nama Hamza Kashgari dalam data imigresen. Tidak ada nama masuk dan nama keluar.
"He is such a liar... dia telah menipu kerana tidak memberi maklumat tepat kepada peguam dan dia berniat untuk menipu mahkamah..." Inilah kata-kata keras dari Fadiah Nadwa untuk menjawab kenyatan awal Menteri Dalam Negeri Hishamudin Hussein yang menyatakan bahawa Hamza Kashgari tidak berada di Malaysia.
Berita Hamza Kashgari dihantar pulang ke Saudi tersebar di seluruh dunia. Media barat dan badan hak asasi antarabangsa telah menyelar Malaysia.
Kerana telah terbukti bahawa Hamza Kashgari memang telah pernah sampai ke Malaysia, maka Menteri Dalam Negeri telah berkata bahawa 'Malaysia tidak melindungi pengganas'.
Bagaimana tidak ada rekod kemasukan Hamza Kashgari ke Malaysia masih menjadi tanda tanya. Apa yang sahih ialah telah ada kerjasama antara Malaysia dengan 'mukhabarat' Saudi yang telah menerbangkan Hamza dengan pesawat terbang khas pada petang Ahad 12 Februari yang lalu.
Latheefa Koya, juga seorang peguam telah menerangkan 'di Saudi tidak ada hukum perundangan yang bertulis. Ini menjadikan nasib Hamza Kashgari dalam bahaya.
Abdel Rahman al-Lahim, peguam Hamza di Saudi Arabia hingga ke hari ini masih belum dapat menemui anak guamnya. Keluarga Hamza hanya mendoakan keselamatan 'Hamza'.
Akhbar Guardian terbitan London pada 17 Februari ini telah melaporkan bahawa kempen untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap Hamza Kashgari sedang berjalan di Saudi.
Media baru — Twitter dan Facebook — kelihatan berkempen sama agar Hamza yang dituduh menghina Nabi Muhammad ini dibunuh. Suara-suara dalam blog dan alam siber yang cuba membantu Hamza telah diancam sama.
Kes Hamza Kashgari ini masih belum selesai. Ianya membawa implikasi politik terhadap dasar hak asasi manusia negara ini. Suhakam telah bersuara membantah tindakan menghantar Hamza pulang.
Pada 27 Febuari yang akan datang mahkamah akan mendengar permintaan harbes corpus yang telah diajukan oleh Lawyers For Liberty. Kes ini bukan hanya mengenai hak asasi warga asing seperti anak muda Hamza Kashgari yang kita tidak tahu dimana dia ditahan sekarang.
Kes Hamza Kashgari ini juga adalah cermin tentang hak asasi warga Malaysia sendiri.
By Hishamuddin Rais | Yahoo! Malaysia Newsroom – Mon, Feb 20, 2012