Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh bin Teuku Nyak Karim binti Che Mah binti Husin. @ P Ramlee
22 Mac 1929 - 29 Mei 1973
oleh Muhammad Zir-24 May 2011-Roketkini
Satu-satunya manusia yang masih terus diingati, dipuja dan diperkatakan melebihi susuk mana-mana ahli politik sebesar Tunku Abdul Rahman, Tun Razak atau Tun Mahathir sekali pun, hanyalah P.Ramlee. Kisah tentangnya atau karyanya akan senantiasa diputar di kaca TV dan Radio. Kita percaya, pengaruh ini akan kekal berpanjangan, melebihi ingatan rakyat kepada Tunku, Tun Razak atau pun Mahathir sendiri.
Kita semakin menyedari bahawa bakat dan karya beliau lahir dalam lingkungan persekitaran sebuah zaman perantaraan pra-kemerdekaan 40-an, merdeka 50-an dan pasca kemerdekaan 60-70-an. Bingkai masa ini sangat signifikan dengan perkembangan budaya, sosio ekonomi dan politik tanahair. Ini mungkin dapat memberi gambaran dengan lebih jelas tentang realiti budaya dan bangsa kita sendiri.
Era 40-an
Singapura pada sekitar tahun 40an merupakan kota besar. Kota yang menjadi tumpuan umum seperti mana Kuala Lumpur pada masa ini. Tetapi pada zaman itu, Kuala Lumpur bukanlah kota yang setanding Singapura, malah ia antara wilayah asing yang tidak menarik. Secara tidak rasmi, British menjadikan Singapura sebagai ibu kota Tanah Melayu. Kota ini juga menjadi idaman tentera Jepun sewaktu menakluk Semenanjung Tanah Melayu.
Pada zaman itu, kota ini bukan kota bangsa Melayu atau Cina, India, Arab atau Mat Salleh, tetapi ia adalah Kota Budaya. Kota ini menjanjikan kepelbagaian budaya yang merancakkan kegiatan hiburan, pembangunan dan perniagaan. Tidak hairanlah bila ia menjadi tumpuan artis, pengarah, penerbit dan peniaga dari seluruh dunia untuk bekerja dan menjadikan kota ini sebagai pusat industri seni dan hiburan yang besar. Pada masa itu, difahamkan industri filem Melayu di Singapura mempunyai kepakaran, teknologi dan budaya kerja yang standing, kalau pun tak lebih maju berbanding industri filem di Hong Kong dan Bollywood. Puncanya, bukan kerana insan seperti P.Ramlee, B.S. Rajan, L. Krishnan atau kilang filem Shaw Brothers, tetapi kerana pakej yang ada pada kota itu sendiri.
Kota Singapura
Bagaimana British membina kota ini? Secara ringkasnya, hasil dari politik Stamford Raffles dengan pembesar-pembesar Melayu khususnya bangsawan Johor, maka Singapura dapat ditadbir oleh beliau atau dengan lebih tepat lagi diurus oleh Syarikat Hindia Timur British. Pelabuhan dan perdagangan menemukan semua bangsa dari serata benua. Kota ini membangun dengan objektif menjadikan ianya sebagai pusat perniagaan. Keterbukaan pentadbiran Syarikat Hindia Timur British ini telah menjadikan ekonomi dan sosial wilayah Singapura hidup dengan segala macam persaingan yang aktif. Inilah kerangka bagaimana sebuah pulau menjadi kota budaya milik semua kaum yang bebas untuk berdagang.
Era berkarya
Era 40-50-an inilah kita melihat kelahiran karya-karya P.Ramlee dan juga karya dari seniman lain muncul dengan idea yang segar. Kita tidak akan lupa pada filem Ibu (’53) Panggilan Pulau (’54), Penarek Becha (’55), Anakku Sazali (’56), Sarjan Hassan (‘58), Antara Dua Darjat (’60), Ibu Mertuaku (’62) dan banyak lagi. Zaman kegemilangan itu, industri filem dan muzik bukan bercita-cita untuk mengangkat martabat budaya bangsa (Melayu) atau untuk membuktikan kita ‘Boleh’, sebaliknya karya-karya dihasilkan semata-mata kerana semangat atau `berahi berkarya’ atau dengan maksud lebih jelas, kerana budaya berkarya dalam industri. Itu sahaja.
Walau pun bukan kerana objektif yang `mulia’, karya-karya ini jelas memaparkan budaya bangsa, tidak kira Melayu, Cina atau India. Bahasa pertuturan filem juga lebih bermutu daripada sekarang. Malah, kaum-kaum lain juga tidak menafikan kelebihan P.Ramlee sebagai seorang yang berbangsa Melayu yang amat kreatif, unik dan berbakat besar. Tidak ada salahnya sesuatu kaum itu mempunyai kelebihan dalam satu-satu bidang. Itu realiti bagi yang berusaha gigih. Pada masa itu, kaum Cina mendominasi aspek perniagaan, kaum Melayu mendominasi aspek kretiviti dan inovasi. Kerjasama antara tauke Cina kilang filem dengan karyawan Melayu amat jelas dan mudah – profesional.
Era P.Ramlee
Singapura bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia bersama Sabah dan Sarawak atas faktor keadaan politik pada masa itu. Selama tempoh itu, keadaan politik Tanah Melayu dan Singapura terus bergolak dengan mogok pekerja, pengaruh komunis dan isu perkauman, akhirnya pada Ogos 1965 Malaysia memecat Singapura dan ia menjadi sebuah negara republik.
Jika kita perhatikan antara awal tahun 50-an hingga petengahan 60-an, kita dapat melihat karya-karya yang bermutu dari P.Ramlee, tetapi selepas itu di Studio Merdeka Kuala Lumpur, mutu karya-karya P.Ramlee mula merudum, ‘64 Si Tora Harimau Jadian, ‘65 Ragam P. Ramlee, Dajal Suchi, ‘66 Sabarudin Tukang Kasut, ‘67 Sesudah Suboh, Keluarga 69, Anak Bapak, ‘68 Lain Jalan Ka-Shorga, Gerimis, Ahmad Albab , ‘69 Kanchan Tirana, Bukan Salah Ibu Mengandong, Enam Jahanam, ‘70 Dr. Rushdi, Gelora, ‘71 Putus Sudah Kaseh Sayang, Durjana, Jangan Tinggal Daku antaranya. Jika tidak kerana sejarah, karya-karya ini sememangnya tidak begitu tinggi mutu. Malah P.Ramlee sendiri mengakui kekecewaannya pada karya-karya era ini.
Apakah keadaan yang berlaku pada karya P.Ramlee mempunyai signifikannya dengan keadaan politik pada masa itu? Atau, apakah jenaka “..alif mim nun wau, alif tendang wau bunyinya sarkis..” dalam filem Pendekar Bujang Lapok itu hanya ungkapan sinis kosong beliau? Atau filem Antara Dua Darjat hanya sekadar kisah cinta terhalang kerana keturunan? Jenaka dan idea-idea beliau ini telah menjadikannya seniman yang paling berpengaruh kepada masyarakat. Untuk itu, barangkali dia harus membayar harga yang amat mahal pada hujung usianya apabila tersepit dengan arus politik yang dianngap sesetengah pemerhati seni budaya sebagai membunuh kreativitinya.
Era DEB
Di zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman, dasar pentadbirannya tidak banyak berbeza dengan dasar penjajah British. Ruang sosial dan kegiatan kebudayaan Melayu tidak begitu dikawal – terbuka dan bebas. Hanya kebebasan politik dan ideologi dikawal ketat. Setelah berlaku rusuhan kaum pada 1969, Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri yang menggantikan Tunku, telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru pada awal 70-an. Dan ketika itu juga pada 1971, diadakan Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Secara objektifnya, dasar ini adalah untuk membela dan membangunkan taraf hidup kaum Bumiputera Melayu baik di bidang ekonomi mahu pun kebudayaan. Ketika dasar ini diperkenalkan, hampir tiada langsung bantahan dari rakyat malah dasar ini dianggap sebagai penyelamat kepada kaum Melayu.
Namun, dalam proses perlaksanaan dasar-dasar ini, barulah kelihatan sedikit demi sedikit kecacatannya. Walau pun DEB hanya diperkenalkan seawal tahun 1970, usaha tersebut telah digerakkan sejak Tun Razak menjadi Menteri Pelajaran yang pertama bagi Malaya selepas Perikatan menang pilihan raya persekutuan 1955.
Institusi dan dasar
Daripada Penyata Razak, ditubuhkan ‘institusi’ seperti Institut Bahasa Melayu Malaysia ( IBMM 1956) dan Balai Pustara iaitu kini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP 1957). Secara objektifnya, mendirikan institusi bukanlah suatu perkara yang salah, tetapi dasar dan proses pelaksanaannya menjadi satu persoalan paling besar. Penyata Razak dipertanggungjawabkan untuk membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan, menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menjaga perkembangan bahasa dan kebudayaan kaum lain. Kesemua ini tidaklah menjadi kesalahan kepada sesiapa pun, tetapi yang menimbulkan persoalan ialah niatnya – untuk mengawal dan bukan membebaskan.
Bagaimana mungkin bahasa yang ditutur diberi ‘peranan’ dan ‘fungsi’ menurut faham ahli politik? Bahasa harus dieja dan ditutur dengan betul, perkataan ‘harus’ ini bukan sekadar niat untuk mendidik tetapi ‘mengawal’ dengan akta-akta dan terma-terma yang akhirnya untuk kita – jangan buat kesalahan. Ini memberi maksud, kreativiti disekat oleh undang-undang. Beginilah gambaran bagimana kita memahami budaya (bahasa dan seni) dan pendidikan. Institusi yang dibina atas niat yang suci, pada akhirnya menjadi duri dalam daging bagi kaum Melayu sendiri. Kefahaman kepada kebebasan berbudaya semakin terhakis.
Selepas era Tun Razak, datang pula Tun Mahathir, beliau menyambung apa yang telah Tun Razak usahakan. Malah di zaman Mahathir, lebih banyak institusi ditubuhkan antaranya Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS). Semua ini akhirnya digunakan untuk orang politik menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh untuk seniman berkarya. Apa yang boleh ditulis, diterbit, dinyanyikan hinggalah apa yang patut karyawan buat. Akhirnya, tanpa sedar karyawan kita kerjanya hanya membuat kerja propaganda politik untuk orang politik.
Kepupusan budaya berkarya
Zaman pasca perang 40-an, sebelum adanya semua institusi ini, karyawan kita seperti P.Ramlee mampu berkreatif dengan senang hati dan hasil karyanya berkualiti baik dari segi idea, konsep dan teknikal. Tidak perlu bergantung pada dana dari kerajaan untuk berkarya, sebaliknya tauke-tauke filem berani melabur. Kekuatan ini tidak dapat dibandingkan selepas semua yang berkaitan seni diinstitusikan, hingga kini kita tidak memiliki apa-apa yang boleh dibanggakan selain daripada pencapaian dahulu. Kini kita terus hidup dalam memori indah Studio Jalan Ampas. Itu sahaja.
Dengan slogan pentadbiran kerajaan yang baru, slogan institusi yang indah-indah, skim untuk karyawan itu dan ini, bersilih ganti. Semua ini kononnya dengan niat untuk mengangkat martabat seni tempatan, filem dan muzik tempatan kepada dunia, hanyalah propaganda politik kepada masyarakat. Kerja tangan orang politiklah yang `membunuh’ bakat seperti P.Ramlee. Hari-hari terakhir Seniman Agung itu penuh duka lara kerana `sekatan’ institusi. Dengan budaya politik seperti ini, janganlah ada antara kita yang bermimpi akan lahir seorang lagi P.Ramlee. Jika P.Ramlee masih hidup sekali pun, mungkin tidak rela hidup membohongi diri sendiri.
“Keunggulan dan ketokohan P Ramlee dalam industri filem tidak dapat disangkal lagi, beliau adalah pengasas pembikin filem Singapura.” Menteri Penerangan Singapura George Yeo di Pesta Filem Antarabangsa Singapura ke-12, 1999
Mungkinkah kebebasan untuk berkreativiti dan berkarya sudah pupus di Malaysia? – Roketkini.com