"Aku Takkan Melupakanmu.."
usinkata;..sejarah yg tidak akan dilupakan..mereka sudah menangis dan kekeringan airmata..dikhianati dan dizalimi..apa pula nasib kampung-kampung yg lain..yg masih wujud dan ingin dilenyapkan..Kampung Baru Tungguuuu !!!!!..
Pengkhianatan atas nama Ketuanan Melayu
Gambar diatas ini diambil ketika saya membuat liputan di Kampung Chubadak, Sentul pada tahun Disember 2006. Peneroka bandar (atau penduduk setinggan dari kaca mata arus perdana) diarahkan untuk mengeluarkan apa-apa yang berharga sebelum rumah kayunya diranapkan jentolak. Tiada lagi ruang untuk harapan agar jangka rundingan dilanjutkan. Pembangkang, NGO dan media hanya menunggu masa perobohan berlaku.
Pada saat-saat akhir budak Melayu ini sempat terserempak dengan sebilah keris kayu dalam rumahnya. Maka dengan gembira dia mengeluarkannya dan menunjuk-tunjuk kepada kawan. Malah, budak-budak ini meniru gerak-geri pemimpin politik - berlagak menjulang keris kayu-nya di depan jentolak untuk "mempertahankan rumahnya" daripada dirobohkan. Orang dewasa yang terpinga-pinga dengan nasib masa depan mereka di situ, hanya tersenyum pahit dengan gelagat mereka...
Dua minggu sebelum budak ini menjulang keris kayu-nya, laungan "Ketuanan Melayu" melantun-lantun dalam bangunan PWTC. Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Hishammuddin Hussein menghunus dan menjulang keris Panca Warisan untuk mempertahankan "Ketuanan Melayu". Bahangnya bertambah hangat, apabila sesetengah perwakilan mencurah minyak dengan ikrarnya "sanggup bermandi darah untuk mempertahankan Ketuanan Melayu"...
Untuk menamatkan kisah di Kampung Chubadak, keris kayu si budak gagal menghalang kemaraan jentolak berbadan besi. Malah tiada seorang pun perwakilan UMNO yang turun ke situ, bermandi darah untuk mempertahankan Kampung Chubadak. Saya tidak tahu ke mana budak dan keluarganya pergi selepas rumah mereka dirobohkan. Cuma saya agak pasti bahawa Kampung Chubadak warisan Minangkabao yang bersejarah ini akan hilang sebahagiannya, kalau bukan semua dari peta Kuala Lumpur.
Siapa TUAN di Kampung Berembang?
Pengalaman membuat liputan di tempat kejadian perobohan "setinggan" membuatkan saya agak geli ketika mendengar istilah "Ketuanan Melayu". Saya saksikan dengan mata sendiri bagaimana wanita Melayu berdiri di bawah pencakar jentolak untuk menghalang perobohan; bagaimana pelajar yang menduduki peperiksaan SPM terpaksa membuat persiapan terakhir di dalam khemah ketika hujan selepas Kampung Berembang diranapkan.
Malah saya tidak lupa kata-kata penduduk Kampung Berembang, Abdullah bin Ismail, 61, yang menjumpai cenderamata tertera "1968-1998", sebagai penghargaan terhadap sumbangannya selama 30 tahun dalam institusi kerajaan. Beliau berkongsi "kemegahannya" dengan saya yang berada di situ, sambil menoleh dan menuding jarinya ke arah serpihan rumah di belakangnya, "Sumbangan 30 tahun, dan ini dia balasannya." Sambil menahan sebak Abdullah Ismail berkata, "Saya percayalah, kalau komunis pun, dia akan bagi masa, bukan robohkan rumah awak serta-merta."
Sama ada Melayu mahupun bukan Melayu tidak akan merasai "Ketuanan Melayu" di Kampung Berembang pada tahun 2006. Dalam nada yang dibasahi kekecewaan, Ketua Wanita UMNO pertama di Kampung Berembang, Wan Kamariah binti Che Man (gambar kanan) berkata, "Orang India, Cina, Melayu kan sama saja? Tengok, siapa yang robohkan rumah kita sekarang? Bukan orang lain, orang Melayu!"
Siapakah Tuan yang diperlakukan sebegitu? Ketika saya membuat liputan di Kampung Chubadak Tambahan pada tahun 2006, seorang pakcik berumur 69 tahun menceritakan pengalaman dirinya. Mereka menyahut seruan Timbalan Perdana Menteri Abdul Razak pada tahun 1968, berpindah ke Kuala Lumpur dari kampung untuk meningkatkan nisbah populasi Melayu dalam bandar. Realitinya, semakin pesat ibu kota ini dibangunkan, semakin mahal tanah yang dipijak. Akhirnya, peneroka bandar ini diberi nama baru sebagai penceroboh tanah, oleh pemaju dan kontraktor.
Ditulis oleh ; *Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
sumber; petikan http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=11368
No comments:
Post a Comment