Sunday, March 21, 2010

Melayu Champa : Bahasa Jiwa Bangsa..



Kamus Cham pelindung bahasa kami - Mufti Kemboja
Sunday, 21 March 2010 5:11 PM
Oleh Mohd Ali Bakri EraPakatan.com

KUALA LUMPUR: Kamus Cam-Melayu yang julung-julung kali diterbitkan ini, diharapkan akan menjadi pelindung bahasa Cam yang kini sedang berdepan dengan cabaran semasa, kata Mufti Kerajaan Kemboja Sohibus Samahah Okhna Haji Kamarudin Yusof.

"Dengan kemunculan kamus bahasa ini, maka peristiwa ini boleh dirakamkan sebagai hari bersejarah di mana bahasa-bahasa kita selama ini boleh kita ingatkan selalu selepas kita lupa sejak zaman berzaman," kata beliau dalam majlis pelancaran kamus itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PDDP) di sini, hari ini.

Menyentuh sejarah perkembangan jatuh bangun negara Champa, beliau berkata, proses Islamisasi bangsa Cam bermula sejak abad ke-10 Masehi lagi, dan hal ini secara tidak langsung telah menjadikan bahasa Cam sebagai salah satu bahasa Islam di dunia.

Pada ketika ini tambahnya, perubahan bentuk tulisan bahasa Cam berlaku daripada bentuk tulisan Sanskrit kepada tulisan Jawi dan ia berlaku sejajar dengan perkembangan Islam dalam kalangan masyarakat Cam.

"Kalau kita nak cakap mengenai bahasa Cam, kita kena ingat semula negara Champa sebab bahasa terlibat secara langsung dengan negara. Dalam sejarah, negara Champa ini sudah lama ditulis.

"Ketika itu, sudah ada orang Champa, tapi masa itu belum ada negara Champa. Sumber dari tamadun China menamakan kita sebagai Lingyi," kata Haji Kamaruddin lagi.

Tambah beliau, menurut sumber yang sama, China menyebutkan bahawa kaum ini sudah pun wujud pada abad sebelum Masehi

"Akhirnya, barulah negara itu ditadbir secara tersusun pada 179 Masehi. Pada masa yang sama, bahasa ini berubah-ubah dari masa ke suatu masa.

"Pada abad ke-5 sampai ke-11, ini tempoh masa yang menyaksikan Champa sedang maju dan bertamadun. Selepas itu, negara Champa mula jatuh satu demi satu. Kita pun diserang oleh orang Yuan atau orang Annang," tambah beliau lagi.

Mengulas sejarah lama, Haji Kamaruddin berkata, kejatuhan itu bermula pada 1069, yang menyaksikan kejatuhan salah sebuah negeri yang berada di bawah naungan kerajaan Champa dan akhirnya pada 1832, negara agung itu telah jatuh secara keseluruhannya.

"Ia jatuh sampai habis. Jadi, ia mengambil masa selama 800 tahun. Tulisan Champa sebelum kedatangan Islam, ia hadir dalam tulisan Sanskrit yang dikenali sebagai thak khak.

"Roh Islam masuk ke Champa pada 878 Masehi oleh sebab peperangan di China. Orang-orang Islam di China tak kuat menahan serangan itu, lalu orang-orang Islam di China ini turun ke Champa," jelas beliau lagi.

Keadaan itu, tambah beliau, telah menyebabkan raja Champa mula memeluk agama Islam dan hal itu belum menunjukkan bahawa agama itu adalah agama rasmi Champa

"Namun, ketika itu pun, agama Islam belum lagi menjadi agama rasmi di sana. Lama-kelamaan, muncul Jawi Cham dan berlaku perubahan sedikit dengan jalan bahasa kita.

"Kini, tulisan Thak Khak (Sanskrit) lain sedikit dan kita bimbang kebudayaan Champa semakin hilang. Kebudayaan Champa itu ada di Acheh, di Pulau Jawa, tapi pusatnya masih di Vietnam dan Kemboja," tambahnya yang menyifatkan bahasa itu boleh hilang dengan sebab derasnya arus kemodenan

Oleh itu, tambah beliau, bahasa yang kita gunakan hari ini bukan seratus peratus sama dengan zaman dahulu.

"Maka, antara arah tujuan penyusunan bahasa Cam melalui penyusunan kamus ini adalah bertujuan memelihara semula bahasa kita.

"Inilah kamus pertama kita. Dan, kalau kami di Kemboja nak buat kamus ini, rasanya tak akan selesai. Jadi, ini adalah usaha untuk menjadikan bahasa Cam ini lebih rapat dengan kita," tambah beliau lagi.

Dalam ucapan alu-aluan itu, beliau turut menyentuh persamaan sebutan antara Cam dan Melayu.

"Le'a adalah liar, teblek itu terbalik, pega itu pagar, jadi kalau tiada kamus Cam - Melayu, tentu sukar untuk kita saling mengenal sesama kita," tambah Haji Yusof.

No comments:

Hoiii !!!! INGAT TAU !!!

Hoiii !!!! INGAT TAU !!!
"Saya memerlukan sokongan 1.2 juta penjawat awam. Sekiranya anda mahu dibayar gaji yang lebih baik di masa depan, saya perlu mengukuhkan asas perolehan kerajaan kerana kalau tidak, dari mana saya akan dapat wang untuk membayar penjawat awam?"- petikan kenyataan Najib Razak yang mengaku tiada idea lain utk nak bayar gari penjawat awam melainkan kenakan cukai kepada semua rakyat..Pada masa yang sama Kerajaan BN mahu mengurangkan cukai syarikat/cukai koparat..Pada 1988 cukai koparat adalah 40%..tetapikini telah dikurangkan kepada 25%..

Tapak-Tapak di Apadianie sejak 24 Mac 2009