usinkata; Wajarkah kita merasmikan bahawa TNB kini adalah salah satu komponen parti BN setelah SPR dan SPRM menganggotainya..
Marilah berfikir sejenak..
APA AGENDA TNB ‘RASUAH’ WARGA LAHAD DATU?
Oleh: SALIHIN LADJA MURA
KESUNGGUHAN Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang cuba memenangi hati rakyat Lahad Datu dan Tungku yang terletak di Parlimen Silam agar menerima loji janakuasa arang batu yang telah dua kali ditolak Kerajaan Negeri Sabah; membuktikan TNB mempunyai agenda tersirat yang hanya boleh dijawab oleh Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie.
Ketua Cabang PKR Silam, Johani Abdul Halim yang menghubungi wartawan Sabahkini.net di Pantai Timur, mempersoalkan tindakan TNB yang gemar menghabiskan wang pembayar cukai dengan membawa 18 warga Silam dan seorang wartawan tempatan ke Manjung Perak dan Pelabuhan Kelang, Selangor melancong sambil diperdaya dengan niat tersirat TNB.
“Sudah dua kali mereka melakukan kegiatan yang serupa, tetapi kali ini terlalu janggal kerana rombongan terpilih tidak mewakili warga Silam,” ujar Johani yang menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menyiasat kegiatan TNB merasuah warga Silam dan Sandakan sebelum ini.
Kata Johani, ahli rombongan disediakan tiket pergi balik dan menginap di hotel mewah, The Royale Bintang, Kuala Lumpur selama tiga hari dua malam.
Adalah tidak munasabah kata Johani, jika ahli rombongan yang dibawa melawat hanya lantikan politik dan mereka yang ‘buta’ alam sekitar, apatah lagi hanya melibatkan kepentingan politik Adun Tungku, Datuk Suhaili Said.
“Yang membantah ialah NGO dan warga Silam yang celik pencemaran alam sekitar dan mengetahui kesan sehingga Amerika dan China menutup loji janakuasa arang batu untuk beralih ke teknologi hijau. Kita ada kementerian ‘Teknologi Hijau’ tetapi kita dipaksa menerima ‘teknologi hitam’,” ujar Johani yang menamakan arang batu sebagai teknologi hitam dan membahayakan alam sekitar.
Jika NGO dan parti pembangkang turut dibawa dalam rombongan tersebut, sudah pastinya mereka dapat mempertahankan kemurnian alam semula jadi dan membanteras sebarang pencemaran yang bakal berlaku di sekitar Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin dan Hutan Simpan Paya Bakau di Pulau Evan dan Kuala Meruap yang baru diwartakan.
“Jadi kita mendesak agar TNB tidak lagi membazir dengan merasuah penduduk Silam dengan lawatan sambil belajar dan menghentikan segera niat membina loji janakuasa arang batu di Sinakut atau berhadapan dengan saman yang akan difailkan dalam waktu terdekat untuk memohon injunksi mahkamah bagi menghalang sebarang usaha membina loji janakuasa di kawasan tanah rizab anak negeri di Sinakut,” tegas Johani yang kesal dengan kenyataan Wakil Ahli Parlimen Silam, Kunsul Nahul seperti yang disiarkan Sabahkini.net.
sumber;http://www.sabahkini.net/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=2866:apa-agenda-tnb-rasuah-warga-lahad-datu&catid=35:berita-sabah&Itemid=27