Sunday, April 12, 2009

Terkenang-kenang...


Sudirman ubah Chow Kit jadi arena besar bagi orang biasa.
SUDAH 23 tahun berlalu namun kehebatan konsert terbuka Sudirman di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur terus diperkatakan. Menyusuri kembali Jalan Chow Kit yang pernah menyaksikan persembahan penyanyi tersohor itu ternyata mengembalikan nostalgia.
“Sudir memang gementar dan dia sendiri tak menafikan perkara itu,” ujar bekas wartawan hiburan, Saodah Ismail, 49.
Kenangan tahun 1986 itu cukup mendalam dalam ingatan Saodah yang ketika itu menghabiskan masa sehari suntuk bersama penghibur berjiwa rakyat itu sebelum bermula konsert yang bersejarah itu.
Ceritanya, Sudirman sengaja memilih bilik hotel yang berdekatan dengan pentas persembahannya manakala tingkap biliknya betul-betul menghadap pentas.
SAODAH
“Makanan punyalah banyak yang dia tempah tapi satu pun tak habis dia makan. Sementara menanti petang, tingkap bilik itulah yang paling kerap dijenguknya,” kata Saodah.
Sambungnya lagi, frasa kata ‘Eh.. ada ke yang nak datang tengok I buat show ni?’ memang sentiasa bermain di mulut penyanyi yang hanya mempunyai ketinggian 1.47 meter itu.
Tambah Saodah, keresahan jelas terpancar daripada bahasa tubuh Sudirman apabila dia banyak bercakap dan buat lawak.
“Macam-macam yang dia bualkan. Lebih dekat masa persembahan hendak bermula, lagi tak senang duduk saya lihat dirinya,” katanya.
Menjelang pukul 5 petang, krew persembahan dan penyanyi No. 1 Asia itu bergerak meninggalkan bilik hotel dengan menaiki bas namun hampir saja tidak dapat bergerak disebabkan orang terlalu ramai.
Bagi Saodah, dia sendiri naik ‘seram’ melihat betapa ramainya manusia yang membanjiri Jalan Chow Kit iaitu sesuatu yang langsung tak terjangkau dek imaginasinya.
LAUTAN manusia membanjiri Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 15 April 1986 untuk menyaksikan konsert Sudirman.
“Cerita ada orang yang pengsan, jalan ditutup seawal 11 pagi, dan kawalan ketat pihak polis memang betul.
“Semua jalan dan bangunan yang boleh melihat pentas Sudirman akan diserbu penonton. Tidak keterlaluan saya katakan, mereka datang seolah-olah mereka langsung tak pernah melihat Sudirman,” jelasnya.
Mengimbau pengalaman Bob Mustafa Kamal, 59, pula, bekas jurugambar itu memberitahu, pada asalnya dia menganggap konsert Sudirman di Chow Kit sama seperti konsert-konsertnya yang lain.
“Tapi sebaik saja sampai di Chow Kit sekitar pukul 5 petang, saya terkejut. Memang orang ramai betul,” katanya yang kini menetap di Melaka.
Mujurlah ada jejantas. Dan di situlah dia merakamkan gambar sepanjang konsert berkenaan kerana untuk bergerak memang tiada ruang langsung.
Walaupun beberapa perancangan telah dilakukan ketika mendapat tugasan tersebut, kerumitan tetap timbul.
KAWASAN yang pernah menempatkan pentas Sudirman.
“Saya tak jumpa pekerja dispatch yang sepatutnya ambil filem untuk dihantar ke pejabat kerana orang terlalu ramai.
“Rupa-rupanya, kami berdiri tidak berjauhan,” katanya ketawa mengingati pengalaman hebat itu. – SHANIKA ABDUL LATIB
Konsert Sudirman di Chow Kit
- Pada 15 April 1986, Sudirman menempa nama dalam Malaysia Book of Records setelah mengadakan konsert gergasi percumanya di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Hampir 100,000 warga kota menonton kehebatannya.
- Lagu pertama yang dinyanyikan ialah Chow Kit Road dan diakhiri dengan lagu patriotik Abadi sambil beliau memakai bendera Malaysia.
- Jalan Chow Kit pada era Sudirman adalah gelanggang marhaen. Chow Kit menjadi simbol orang-orang kerdil yang juga peminat Sudirman.
- Konsert jalanan secara percuma adalah sebagai tanda terima kasih Sudirman kepada para peminat yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel dan dewan konsert, sekali gus memberitahu kita bahawa Sudirman bukan materialistik.

Gambar dibawah;- Hampir 100K peminat Sudirman ketika berlangsung konsert utk rakyat..

No comments:

Hoiii !!!! INGAT TAU !!!

Hoiii !!!! INGAT TAU !!!
"Saya memerlukan sokongan 1.2 juta penjawat awam. Sekiranya anda mahu dibayar gaji yang lebih baik di masa depan, saya perlu mengukuhkan asas perolehan kerajaan kerana kalau tidak, dari mana saya akan dapat wang untuk membayar penjawat awam?"- petikan kenyataan Najib Razak yang mengaku tiada idea lain utk nak bayar gari penjawat awam melainkan kenakan cukai kepada semua rakyat..Pada masa yang sama Kerajaan BN mahu mengurangkan cukai syarikat/cukai koparat..Pada 1988 cukai koparat adalah 40%..tetapikini telah dikurangkan kepada 25%..

Tapak-Tapak di Apadianie sejak 24 Mac 2009