Altantuya : Saya diugut kerabat Najib, kata Bala
sumber;feemalaysiatoday/bahasa
Seorang pegawai kanan polis, dua ahli perniagaan adik beradik dan seorang ahli keluarga Perdana Menteri terbabit mengugut dan menyogok penyiasat persendirian, P Balasubramaniam supaya menarik balik perakuan bersumpahnya yang mengaitkan Najib Razak dengan wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu yang mati dibom.
Dengan menggunakan pelbagai taktik gertakan dan khidmat pasukan perisik tentera, Bala bukan sahaja diugut supaya membuat perakuan bersumpah kedua memansuhkan perakuan bersumpah pertamanya tetapi terpaksa menyembunyikan diri di luar negara.
Pendedahan ini dibuat oleh Bala sendiri di hadapan tiga peguam kanan baru-baru ini kerana tidak mahu terus menjadi “pelarian”. Transkrip pendedahan berkenaan diperolehi Suara Keadilan.
Bala yang diambil berkhidmat oleh rakan karib Najib, Abdul Razak Baginda dijanjikan imbuhan hingga RM5 juta untuk menarik balik perakuan bersumpahnya pada 3 Julai 2008 yang mendedahkan hubungan Najib dengan wanita Mongolia yang dibunuh pada Oktober 2006 itu.
Beliau diarahkan supaya jangan pulang ke Malaysia sehingga selepas Najib ditabalkan menjadi Perdana Menteri pada April tahun ini, menurut edisi terbaru Suara Keadilan.
Bagaimanapun setelah 15 bulan menjadi pelarian, Bala memutuskan untuk “mendapatkan kehidupan normalnya kembali” dengan mendedahkan apa yang sebenarnya terjadi pada diri beliau dan keluarga selama ini.
Adalah difahamkan bahawa selepas sidang media untuk mengumumkan kandungan perakuan bersumpah pertamanya di pejabat PKR di Merchant Square, Tropicana, pada 3 Julai 2008 Bala bersama seorang pegawai polis berpangkat ASP bernama Suresh Kumar pergi ke Cheras.
Dalam perjalanan mereka mendapat panggilan daripada Dinesh Jaikishan seorang ahli perniagaan yang karib dengan mereka memberitahu bahawa abangnya, Deepak, mahu berjumpa.
Pertemuan diatur di sebuah kedai Bah Kut Teh di Rawang. Dinesh dan Deepak hadir, menurut laporan Suara Keadilan.
Sebelum tiba ke kedai berkenaan, isteri Bala menelefonnya memberitahu ada sebuah kereta merah di hadapan rumah mereka. Bala menasihatkan isterinya mengunci pintu pagar dan jangan berbuat apa-apa sehingga beliau menelefonnya kembali.
Deepak, pemilik syarikat Carpet Raya di Kuala Lumpur menawarkan RM4 juta dan kemudian RM5 juta supaya Bala menarik balik perakuan bersumpahnya.
Menurut Bala, Deepak telah memperkenalkan dirinya sebagai seorang yang rapat dengan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, malah menawar untuk mengaturkan sarapan pagi antara Bala dan Rosmah,
Deepak juga memberitahu Bala bahawa orang dalam kereta merah di hadapan rumahnya itu adalah anggota perisik tentera.
Beliau kemudian mengarahkan Dinesh dan ASP Suresh membawa Bala ke pusat membeli belah Curve di Damansara untuk bertemu seorang “Datuk.”
Menurut Bala beliau mengenali Datuk berkenaan sebagai ahli keluarga Najib, bakal perdana menteri Malaysia ketika itu, lapor Suara Keadilan.
Dalam transkrip wawancara itu Bala menegaskan bahawa saudara Najib itu mengugut jika beliau (Bala) sayangkan keluarganya, beliau patut ikut arahan Deepak.
Bala bertegas tidak akan meninggalkan Malaysia tanpa keluarganya bersama. Persetujuan dicapai supaya Bala membawa keluarganya meninggalkan Malaysia.
Pada 4 Julai 2008, Bala ditemani seorang peguam bernama Arunambalan yang belum pernah dikenalinya sebelum itu menemui pihak media di Prince Hotel untuk membentangkan perakuan bersumpah keduanya yang memansuhkan perakuan pertama.
Sementara itu seorang pembantu Deepak mengiringi keluarga Bala untuk mendapatkan pasport mereka di pejabat Imigresen, menurut Suara Keadilan.
Bala dan keluarganya kemudian dibawa dengan van ke Singapura sebelum terbang ke Bangkok. Dari situ mereka ke Katmandu sebelum berlindung di India.