foto; sekadar hiasan
Ibu lahirkan bayi lelaki seberat 6.15 kilogram
ALOR SETAR: Seorang ibu berjaya melahirkan seorang bayi lelaki seberat 6.15 kilogram secara normal di sebuah pusat perubatan swasta di sini, dipercayai bayi terbesar pernah dilahirkan di negeri ini.
Wanita berkenaan, Aishah Bee Yassin, 35, dari Changloon, Kedah melahirkan bayinya yang juga anak kelima dengan dibantu seorang doktor dan beberapa kakitangan pusat perubatan berkenaan, jam 2 pagi tadi.
"Saya mula sakit hendak bersalin jam 10 malam dan suami telah menghantar ke sebuah hospital di Jitra tetapi mereka tidak mahu terima kerana sudah terlewat.
Menurutnya lagi, sejak itu, pihak polis telah menugaskan beberapa anggotanya memantaunya sejak dimaklumkan mengenainya semalam.
"Oleh itu, saya dibawa ke sini dan akhirnya selamat melahirkan anak kelima kami," katanya di sini hari ini.
Aishah berkata sepanjang tempoh kehamilannya, dia langsung tidak berselera untuk menjamah nasi sebaliknya hanya makan buah kedondong dan minum susu sahaja.
"Saya makan buah kedondong sebanyak satu kilogram setiap hari serta minum susu. Kalau tidak dapat buah itu, saya jadi marah-marah," katanya.
Sementara itu, suaminya, Mohd Ali Khan Ghazali, 41, berkata dia terkejut apabila diberitahu bahawa anak kelimanya itu direkodkan seberat 6.15 kilogram kerana menyangka berat bayinya hanya sekitar empat kilogram sahaja.
"Saya agak terkejut kerana sebelum ini anak keempat kami iaitu Nor Hashimah paling berat ketika dilahirkan iaitu lima kilogram tapi adiknya ini lebih berat. Bagaimanapun, saya bersyukur apabila doktor mengesahkan anak saya sihat," katanya.
Selain bayi itu, Ali yang bekerja sebagai ajen pengimport mempunyai empat anak iaitu Mohd Amirudin Mohamed, 13, Nor Hafisah Mohamed, 12, Mohd Nazirul Mubin Mohamed, 10 dan Nor Hasyimah Mohamed, 6. - Bernama