Silap mata Najib?
sumber; freemalaysiatoday
SPRM siasat Timbalan Menteri
Seorang Timbalan Menteri dan seorang Ahli Parlimen dari Umno, kedua-duanya wanita, dilaporkan sedang disiasat oleh Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (PSRM) atas dakwaan rasuah dan penyelewengan yang dijangka boleh memburukkan lagi keretakan dalam parti itu.
Namun, sejauh mana ketelusan penyiasatan itu dan hasilnya menimbulkan pelbagai tanggapan. Apakah siasatan itu dikatakan mungkin satu lagi helah untuk menaikkan kredibiliti Perdana Menteri Najib Razak ketika indeks rasuah Malaysia semakin buruk seperti yang dilaporkan Transparency International?
Najib (gambar) sendiri sedang berusaha memesongkan rakyat daripada pelbagai dakwaan yang dihadapinya, termasuk pendedahan terbaru penyiasat persendirian P Balasubramaniam mengenai kes pembunuhan Atltantuya dan hubung kaitnya dengan Perdana Menteri, adiknya Nazim dan isterinya Rosmah Mansor.
Sumber-sumber memberitahu Suara Keadilan bahawa Ahli Parlimen yang terbabit adalah juga seorang bekas Timbalan Menteri.
Kabinet Najib mempunyai lapan Timbalan Menteri wanita, empat daripadanya adalah daripada Umno.
Suara Keadilan difahamkan, SPRM sedang menjalankan siasatan rapi terhadap kedua-dua mereka sejak sebulan lalu dan hasil siasatan akan diketahui tidak lama lagi.
“Siasatan terhadap Timbalan Menteri dan bekas Timbalan Menteri itu dijalankan apabila pihak SPRM menerima laporan serta beberapa dokumen yang dikatakan mengkaitkan mereka dengan amalan rasuah,” kata sumber berkenaan.
Sumber itu tidak menolak kemungkinan Najib akan menggunakan dua kes itu untuk mencanang dirinya sebagai pemimpin yang tidak bertolak ansur membanteras rasuah.
Taktik serupa digunakan mantan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang “mengorbankan” bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Kasitah Gadam.
Kasitah didakwa menyeleweng pembangunan tanah di Sabah, tidak lama selepas Abdullah diangkat menjadi Perdana Menteri. Beliau bagaimanapun dibebaskan oleh Mahkamah beberapa bulan lalu.
Tindakan terbaru SPRM menyiasat Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen dijangka tidak mampu meredakan desakan rakyat yang mahu siasatan bebas dijalankan berhubung beberapa skandal kewangan mega yang telah mengeringkan dana kerajaan.
Ini termasuk pemberian komisen RM540 juta untuk dua kapal selam Scorpene, komisen pembelian jet pejuang Sukhoi, skandal PKFZ RM12 billion, mahligai Dr Khir Toyo RM24 juta, hasil siasatan Selcat berhubung kehilangan RM10 juta daripada Balkis dan ketirisan RM28bilion menurut Laporan Ketua Audit Negara.