Sunday, June 14, 2009
Tragedi Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Narathiwat, Thailand.
SEORANG jemaah tidak dapat menahan hiba tatkala berdoa selepas solat di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan selepas kejadian serangan. foto-kosmo
“Macam mana boleh lepas sekatan? Kalau ikutkan kawalan askar, orang luar tak dibenarkan masuk ke sini,” kata seorang penduduk kampung itu.
Mengetahui kami wartawan dari Malaysia, penduduk kampung menyambut baik kehadiran kami.
“Nakau (wartawan) dari mana? Harap dapat tunjukkan kebenaran dan tolonglah bantu mengurangkan kesengsaraan kami,” luah seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail.
Menurut beliau, orang tempatan sudah hilang kepercayaan kepada media Thailand yang berat sebelah dalam melaporkan berita di wilayah yang sebahagian besar penduduknya berketurunan Melayu itu.
Bagi seorang anak jati kampung itu, Wan Kamaruzaman Wan Latiff, perasaan kecewa dan kecil hati kerap menimpa mereka kerana masyarakat Islam seringkali dipersalahkan setiap kali ada keganasan yang berlaku tanpa ada penghakiman dan pembuktian yang adil.
“Tuhan tidak kurniakan ‘syahid’ kepada jemaah yang mati tempoh hari jika orang Islam benar-benar menjadi dalangnya.
“Sesuatu yang bodoh bagi kami untuk mengorbankan saudara seagama untuk matlamat yang masih kabur,” luahnya yang merupakan adik kepada Wan Abdullah Wan Latiff, 62, imam masjid tersebut yang turut terbunuh.
Lebih malang dan licik, kemarahan itu dimanipulasi pula kumpulan rahsia yang bertindak dalam samaran bagi melaga-laga hubungan antara Melayu Islam dan Siam Buddha,” kata Zolkipli Ghofur, 42.
Pembekal makanan kering dari Yala yang sering berulang-alik ke Kuala Lumpur itu mendakwa kerajaan Thailand sering berprasangka terhadap orang Melayu. Pemerintah mengesyaki terdapat gerakan bawah tanah yang memusuhi kerajaan, tali barut kerajaan, tentera dan orang Siam Buddha.
“Tetapi akhirnya, orang Melayu juga yang bercerai nyawa. Para ulama dan anak-anak muda ditembak tanpa usul periksa hanya kerana dipercayai merancang keganasan.
Zolkipli turut menyebut kematian secara tidak diduga ini boleh berlaku sama ada dengan serangan bom, serang hendap bersenjata, ataupun kejadian pandu tembak di jalanan seperti yang ditakuti penduduk Pattani yang menggunakan jalan raya pada waktu malam.
“Kalau bukan terang-terangan orang Melayu mati di hujung senjata anggota keselamatan kerajaan, ada kes-kes tertentu yang dicanangkan sebagai serangan balas orang Siam Buddha.
“Sampai bilakah helah mencetus kebencian ini hendak dimainkan?” ujar Zolkipli yang tidak mahu gambarnya dirakamkan Jurnal.
Dalam sebuah kajian yang dibuat oleh Dr. Sisomphop Jitphiromsi dari Universiti Songkhla Nakharin, Pattani, dalam kebanyakan kes pembunuhan orang Melayu Thai, isyarat maut akan dihantar sebelum pembunuhan dilakukan.
Pasir, beras, kain kapan dan telur ayam diletakkan di depan rumah orang yang akan dibunuh. Beberapa hari selepas itu, orang yang diberi isyarat maut itu akan ditembak. Kebanyakan mereka yang menjadi mangsa pembunuhan seperti itu adalah orang bekerja untuk kerajaan (tali barut).
“Jika benar pun ia dilakukan oleh orang Melayu Islam, kami sangat kesal jika ada saudara-mara kami yang berjuang secara sebegitu. Mana mungkin kami boleh kejam terhadap bangsa sendiri, apatah lagi mencemar kemuliaan masjid atas nama mencetus isyarat perjuangan,” kata Zolkipli.
Walau apa pun latar belakang dan niat puak pemisah itu, orang Melayu yang akhirnya dilabel sebagai berbahaya, militan atau ektremis.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment